Jumat, Desember 28, 2007

Ed Osmera, Pelakon yang Kuat Beragama

Ed Osmera merupakan seorang pelakon yang mempunyai kelas yang tersendiri. Ed Osmera apabila berlakon sememangnya ada cara yang tersendiri. Kalau dihayati betul2, kebanyakan dalam filem lakonannya seolah-olah menggambarkan keperibadiannya yang sebenar. Saya coretkan di sini tentang seorang insan seni yang bergelar pelakon yang di mana, pelakon ini bukan sahaja menumpukan kepada kerjaya lakonannya semata-mata tetapi juga beliau lebih menumpukan kepada soal agama dan ibadahnya terutama ketika di saat2 akhir hayatnya. Sama2lah kita tatapi.

Kisah hidup Ed Osmera

Ed Osmera dilahirkan pada tahun 1943 di Kota Bharu, Kelantan. Nama sebenarnya ialah Sheikh Osman bin Sheikh Ibrahim. Bapanya ialah seorang peniaga. Ibunya pula meninggal dunia ketika usianya masih kecil lagi.

Raut wajah Ed Osmera agak serius. Namun, di kalangan rakan beliau lebih dikenali sebagai pemuda pendiam. Ed Osmera dianggap pelakon yang banyak berlakon dan kebanyakannya filem yang dibintangi menampilkannya sebagai hero. Beliau diperkenalkan ke layar perak menerusi filem Panglima Besi arahan M. Amin pada tahun 1964. Kemudiannya pula ialah filem Bidasari (1965) arahan Datuk Jamil Sulong, Lain Jalan Ka Shorga (1966) juga arahan Datuk Jamil Sulong dan Sri Andalas (1967) arahan S. Kadarisman.

Kebanyakan lakonan Ed Osmera membabitkan aksi pertarungan. Filem yang telah mengangkat namanya sebagai pelakon aksi pertarungan yang tidak mengecewakan ialah Panglima Harimau Berantai arahan Omar Rojik iaitu pada tahun 1969.

Selepas Panglima Harimau Berantai, muncul pula Pancha Indera Harimau Berantai pada tahun 1970. Dalam filem ini, Ed Osmera tidak saja menunjukkan kehandalannya sebagai pendekar, tetapi juga kemahirannya bertarung biarpun kedua-dua matanya buta.

Ed Osmera juga pernah berlakon dalam filem arahan P. Ramlee seperti Sesudah Suboh (1966) dan Doktor Rushdi (1970).
Bagaimanapun, S. Kadarisman dan Omar Rojik adalah orang yang banyak menggilap bakatnya di layar perak. Filem lain di bawah S. Kadarisman ialah Kembang Layu (1970), Kudrat (1971), Hutang Darah (1972) dan Cengkaman Maut (1972).
Bersama Omar Rojik pula, beliau berlakon dalam filem Keranda Jingga (1969), Tuah Badan (1970) dan Semerah Cindai (1973).

Ed Osmera bersama Jins
Shamsudin (Gambar di atas)

Pada tahun 1975, Ed Osmera kembali berlakon dalam filem di bawah arahan M. Amin iaitu Pertiwi sebelum berehat dari dunia lakonan hampir enam tahun.

Aziz Sattar mengembalikannya berlakon menerusi filem Prebet Lapok pada tahun 1980.Selepas itu, beliau tampil dalam filem Raja Laut arahan Z.Lokman pada tahun 1981.

Setahun kemudian, Ed Osmera menjadi pengarah pula dengan filem berjudul Ribut Di Hujung Senja (1982).

Beliau dianggap mengabadikan dirinya terhadap dunia lakonan sepanjang hayat. Walaupun tidak aktif lagi dalam dunia perfileman, Ed Osmera agak aktif juga mengarah dan berlakon drama.

Antara drama lakonannya ialah Kuala Lumpur arahan Arief Karmahani, Lain Jalan Ke Mekah, Sesat Dalam Cahaya dan Cili Padi.Drama arahannya pula berjudul Malam Tujuh Likur. Dibintangi bersama Zulkifli M. Osman.Dalam drama itu, beliau melakonkan watak orang ghaib yang membawa Zulkifli kembali ke pangkal jalan.

Ada satu lagi filem lakonan beliau yang membawakan watak orang alim iaitu Hormat Terakhir. Filem ini saya rasa umumnya, belum ramai lagi orang mengetahuinya. Bahkan peminat2 beliau sendiri juga ada yang tidak tahu akan kewujudan filem tersebut. Dan saya rasa, belum lagi pernah ditayangkan di televisyen.
Kuat Beragama Terutama Ketika Akhir2 Hayatnya

Ed Osmera memang seorang yang pendiam. Sehinggakan apabila bertemu dengan orang ramai, beliau memang tak banyak bercakap. Tapi, beliau juga amat peramah dengan orang lain.

Sesiapa yang pernah menemui beliau, akan dapat melihat perilakunya yang amat sopan dan tutur katanya yang teratur sama seperti di dalam filem.
Sebenarnya, Ed Osmera dari zaman mudanya sampai akhir2 hayatnya tidak berkahwin. Barangkali, salah satu sebabnya ialah beliau banyak menghabiskan masanya dengan menumpukan soal agama dan ibadah.Di saat akhir2 hayatnya, Ed Osmera memang sudah tidak banyak berlakon. Itu tandanya, barangkali dalam diri beliau telah datang kesedaran agama yang amat mendalam. Sehinggakan di depan rumahnya diletakkan dua batu nisan semata-mata mengingatkan beliau tentang kematian.

Di samping itu, Ed Osmera juga aktif dalam kegiatan2 dakwah. Beliau juga banyak melakonkan filem dan drama2 berunsur keagamaan. Itulah hidup seorang insan seni yang bergelar sebagai pelakon yang bukannya saja menumpukan kepada kerjaya lakonannya, tetapi lebih dari itu, beliau juga lebih menumpukan kepada hal2 keagamaan dan ibadah. Itulah yang berlaku ketika di saat2 akhir hayatnya.

Ed Osmera meninggal dunia kerana sakit jantung pada 2 Januari 2005 ketika berusia 63 tahun.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.